Langkau ke kandungan utama

Bolehkah orang awam memohon maklumat daripada mana-mana pihak berkuasa awam di bawah undang-undang RTI?

Ya, undang-undang harus merangkumi semua pihak berkuasa awam yang berkaitan termasuk kementerian, agensi negeri, dan pihak berkuasa tempatan. 

Undang-undang RTI Persekutuan harus memastikan penjajaran yang berkesan dengan persempadanan kuasa perlembagaan antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam skop dan pentadbiran undang-undangnya.

Bagaimanakah orang awam boleh mendapatkan maklumat?

Secara umumnya, semua maklumat yang disimpan pegawai awam harus didedahkan secara proaktif di laman web mereka. 

Sekiranya anda perlu mengakses maklumat, ia mestilah tersedia dalam format digital dan fizikal melalui e-mel, secara peribadi atau kaedah lain yang boleh diakses. 

Akses yang berkesan untuk orang kelainan upaya seharursnya turut ada. 

Bolehkah saya mengetahui di mana untuk mendapatkan maklumat?

Di bawah undang-undang RTI, setiap orang bukan sahaja mempunyai akses tetapi akses MUDAH kepada maklumat. Ini bermakna setiap maklumat yang didapati haruslah juga mudah diakses. Senarai agensi kerajaan yang menyimpan maklumat dijangka akan dikemas kini secara konsisten dan dikongsi secara terbuka.

Undang-undang RTI ini adalah undang-undang Persekutuan, tetapi adakah ia memberi kesan kepada pihak berkuasa negeri? Bagaimanakah ia berfungsi?

Walaupun perundangan ini menetapkan keperluan untuk mendedahkan maklumat di semua peringkat kerajaan, namun ia membolehkan setiap negeri mengekalkan pentadbiran dan skop pendedahan maklumat.

Undang-undang RTI baharu perlu memastikan penjajaran berkesan dengan persempadanan kuasa perlembagaan antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam skop dan pentadbiran undang-undangnya.

Adakah saya memerlukan sebab untuk memohon maklumat?

Sama sekali tidak! Anda tidak perlu memberikan apa-apa sebab sekalipun.

Walau bagaimanapun, permintaan tidak wajar boleh ditolak.

Bolehkah saya menggunakan Akta RTI untuk meminta maklumat mengenai kelewatan kutipan sampah, pemotongan air dan elektrik, dan pembaikan jalan di kawasan kediaman saya?

Sudah tentu anda boleh menggunakannya! Undang-undang RTI harus digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang keperluan anda dan melibatkan diri dengan pihak berkuasa tempatan anda.

Ini akan memupuk demokrasi penyertaan dalam kalangan penduduk tempatan dan membolehkan mereka memainkan peranan aktif untuk melibatkan diri secara aktif dengan kerajaan.

Patutkah saya bimbang tentang maklumat yang boleh dikongsi oleh orang ramai tentang saya jika Perundangan RTI dilaksanakan?

Jangan risau! Tiada maklumat yang mengandungi data peribadi atau maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti akan didedahkan kepada umum. Maklumat yang mengancam keselamatan atau pertahanan negara juga tidak akan dikongsi dengan orang ramai.

Sebarang sekatan atau pendedahan akan menjalani ujian kemudaratan atau ujian kepentingan awam. Anda boleh mendapatkan senarai pengecualian di sini.

Apakah yang berlaku kepada data peribadi saya jika seseorang meminta status perkahwinan, gaji, atau rekod perubatan saya?

Jangan risau! Data peribadi dilindungi di bawah undang-undang RTI kerana ia melibatkan data sensitif.

Maklumat hanya boleh didedahkan jika ia berkaitan dengan kepentingan awam dan memberi kesan kepada orang ramai.

Jika seseorang akhirnya menyalahgunakan maklumat yang mereka dapat dari undang-undang RTI ini, bagaimanakah perkara itu akan ditangani?

Semua maklumat yang didedahkan harus diterbitkan secara proaktif di bawah skim pendedahan, memastikan ia terbuka kepada semua dan mencegah penyalahgunaannya.

Tetapi bagaimana jika anda memerlukan maklumat sekarang dan tidak dapat mendapatkannya? Apa yang boleh anda lakukan untuk mendapatkan maklumat?

Jika anda penduduk Selangor dan Pulau Pinang, anda boleh memfailkan permohonan FOI di negeri masing-masing. Semua agensi negeri di Selangor dan Pulau Pinang mempunyai pegawai maklumat untuk mengendalikan permohonon maklumat. Apa yang anda perlu lakukan adalah mengisi borang! Lawati laman web Tumpang Tanya untuk mengetahui lebih lanjut.

Adakah masih terdapat halangan untuk RTI walaupun Model CSO mengenai Rang Undang-Undang RTI diperkenalkan?

Ya, terdapat beberapa halangan.

  1. Pertama, undang-undang ini tidak meliputi transaksi perniagaan swasta atau sektor swasta kerana mereka tidak bertanggungjawab kepada orang awam.
  2. Kedua, masih terdapat banyak undang-undang menindas yang menghalang maklumat yang sepatutnya bebas dan terbuka daripada didedahkan dan perlindungan data peribadi seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. (rujuk Memorandum kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai undang-undang Bahagian Hal Ehwal ini sebagai penghalang kepada Menteri . rejim RTI progresif dan cadangan pembaharuan kami)

Saya memerlukan maklumat tertentu, tetapi seseorang telah mengklasifikasikannya sebagai 'rahsia' atau 'sulit' di bawah Akta Rahsia Rasmi. Di bawah perundangan Hak Mendapatkan Maklumat yang baharu ini, adakah maklumat masih boleh diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi?

Ya, maklumat masih boleh diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berdasarkan alasan terhad seperti yang dinyatakan dalam OSA.

Walau bagaimanapun, pegawai maklumat perlu mewajarkan mengapa maklumat itu tidak boleh didedahkan berdasarkan asas yang mungkin memudaratkan kepentingan awam.

Selanjutnya, Suruhanjaya Maklumat masih boleh mengarahkan dokumen untuk dinyahklasifikasikan berdasarkan kepentingan awam, jika dirayu.

Bagaimana pula jika pegawai maklumat kerajaan enggan memberikan saya maklumat itu?

Seterusnya, anda boleh merayu kepada Suruhanjaya Maklumat. Anda juga boleh memanfaatkan proses mahkamah jika rayuan anda gagal.

Mengapakah maklumat perlu didedahkan berdasarkan kepentingan awam?

  • Untuk menentukan sama ada akses kepada maklumat atau dokumen akan:
    1.       Menggalakkan amalan demokrasi penyertaan  di Malaysia dengan menyumbang ke arah meningkatkan penyertaan awam dalam proses pembuatan keputusan oleh kerajaan untuk menggalakkan pembuatan keputusan termaklum;
    2.       Membolehkan orang awam menyemak dan memberi maklum balas mengenai aktiviti-aktiviti kerajaan;
    3.       Memaklumkan perbahasan mengenai perkara-perkara kepentingan awam;
    4.       Menggalakkan pemantauan perbelanjaan awam yang berkesan; dan
    5.       Membenarkan seseorang mengakses maklumat peribadi sendiri.
  • Untuk meningkatkan pengiktirafan bahawa maklumat yang dipegang oleh Kerajaan hendaklah diuruskan untuk tujuan awam, dan merupakan sumber negara.

Apakah faktor yang tidak relevan yang tidak boleh dipertimbangkan semasa memutuskan sama ada akses kepada maklumat atau dokumen adalah bertentangan dengan kepentingan awam?

  • Akses kepada maklumat atau dokumen boleh mengakibatkan rasa malu kepada kerajaan Malaysia atau menyebabkan hilang keyakinan terhadap kerajaan;
  • Akses kepada maklumat atau dokumen boleh menyebabkan mana-mana orang salah tafsir atau salah faham mengenai maklumat atau dokumen;
  • Pengarang dokumen atau pemegang maklumat adalah (atau) kekananan yang tinggi di agensi yang mana permintaan untuk akses kepada dokumen itu dibuat;
  • Akses kepada dokumen itu boleh mengakibatkan kekeliruan atau perbahasan yang tidak perlu.

Adakah anda perlu membayar untuk mendapatkan maklumat?

Ya! Anda mungkin perlu membayar kos yang minimum untuk penghasilan semula maklumat tersebut. Ini boleh termasuk kos untuk pendigitalan atau penghasilan semula secara fizikal (percetakan atau fotokopi).

Bolehkah undang-undang baharu RTI yang dilaksanakan di peringkat persekutuan wujud bersama dengan Enakmen Kebebasan Maklumat yang dilaksanakan di Pulau Pinang dan Selangor?

Ya, boleh. Perlembagaan Persekutuan mempunyai senarai mengenai pelaksanaan pentadbiran dan maklumat oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau kedua-duanya yang dipanggil Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Ini akan membolehkan undang-undang ini wujud secara selari dan membezakan badan yang mempunyai kawalan ke atas maklumat di mana-mana institusi.

Adakah pegawai maklumat tertakluk di bawah Perundangan RTI?

Ya! Suruhanjaya Maklumat boleh memanggil pegawai maklumat untuk sesi pendengaran dalam menjelaskan alasan mereka untuk menolak sebarang maklumat yang diminta.

Bolehkah pegawai maklumat dipertanggungjawabkan untuk mendedahkan maklumat dengan niat baik di bawah undang-undang RTI?

Tidak.

Undang-undang RTI tidak sepatutnya bersifat punitif dan harus memberikan perlindungan terhadap sebarang liabiliti kepada pihak berkuasa awam, termasuk pegawai maklumat yang mendedahkan maklumat dengan niat baik di bawah undang-undang.

Bagaimanakah ini akan memberi manfaat kepada kerajaan?

Kita tahu bahawa ia menambah lebih banyak penelitian kepada kerajaan, tetapi dalam era ketidakpercayaan terhadap kerajaan, dengan adanya lapisan akauntabiliti, ketelusan, dan keterbukaan, kita boleh mengisi jurang defisit kepercayaan itu, sekali gus meningkatkan sentimen awam terhadap kerajaan.

Skim pendedahan atau penerbitan yang proaktif juga akan mencegah maklumat salah atau palsu kerana maklumat awam akan mudah diakses.